Kursus MARDI: Bengkel Teknopreneur Agromakanan MARDI Sarawak 2023

28 Julai 2023 | Aktiviti Terkini

RD Bengoh telah menghadiri Bengkel Teknopreneur Agromakanan MARDI Sarawak 2023 anjuran Pusat Pemindahan Teknologi & Pembangunan Usahawan (TE) Mardi Sarawak. Bengkel ini berlangsung selama tiga hari iaitu 25 hingga 27 haribulan Julai 2023 yang dibahagi kepada dua kursus berbeza iaitu Kursus Kilang Tanaman pada 25-26 Julai dan Kursus Teknologi Pengendalian Lepas Tuai dan Pemprosesan Makanan Separa Siap (Hasilan Puri) iaitu pada 27 Julai. Kursus pertama iaitu Kilang Tanaman menyentuh isu industri pemprosesan makanan yang mempraktikan teknologi pertanian terkini.

Usahawan didedahkan dengan aplikasi penggunaan sistem tanaman hidroponik iaitu meliputi pengurusan system dan gerak kerja pengoperasian pengeluaran sayuran, sumber cahaya dan pencahayaan tanaman serta pengiraan dan kalibrasi pencahayaan tanaman, SOP kawalan factor biologi, pengendalian lepas tuai dan potensi pasaran bagi produk pengeluaran kilang tanaman. Kursus kedua adalah menyentuh kepada teknologi pengendalian lepas tuai buah-buahan dan sayur-sayuran. Usahawan juga diajar bagaimana untuk menguruskan produk hasil lepas tuai menerusi pendekatan praktikal iaitu demonstrasi penghasilan puri buah-buahan dan aspek pengawetan produk tersebut serta pembungkusan yang sesuai bagi produk yang dihasilkan. Secara keseluruhannya, kursus ini memberi pengalaman baru serta pengetahuan berkenaan dengan penggunaan teknologi terkini bagi meningkatkan produktiviti perusahaan mereka. Selain itu bagi usahawan baru pendedahan teknologi pemprosesan makanan ini mampu memberi alternatif baru kepada mereka untuk mempraktikkannya ke dalam perusahaan yang akan mereka jalankan.

Kembali Ke Atas

kembali