Aktiviti Sempena dengan Cuti Sekolah – Tayangan Filem Seram: Come Play 2020

25 Februari 2023 | Aktiviti Terkini

Pada hari Jumaat, 24 Februari 2023, Pusat Ekonomi Digital Bengoh telah mengadakan satu program kanak-kanak iaitu tayangan filem seram berjudul, Come Play yang telah dirilis pada tahun 2020. Tayangan filem seram ini telah diadakan pada sebelah petang iaitu daripada pukul 2:00 petang sehingga pukul 4:00 petang dan telah berlangsung selama 2 jam. Filem seram ini sesuai untuk semua peringkat umur, dan telah disertai oleh ramai kanak-kanak tempatan dari usia 5 tahun sehingga 13 tahun. Seramai 20 lebih kanak-kanak telah menyertai aktiviti dan ini telah memeriahkan lagi suasana tayangan filem yang telah dijalankan.

Untuk tayangan filem ini, peserta telah digalakkan untuk membawa makanan ringan sendiri untuk dinikmati sepanjang tayangan filem berlangsung. Di awal program, mereka juga telah didedahkan dengan perkongsian melibatkan “Buli siber” yang kini sering kali berlaku dalam kalangan remaja dan belia. Keburukan penggunaan internet yang berlebihan boleh membawa kepada pembulian yang bukan sahaja berlaku dalam kehidupan realiti tetapi juga dalam dunia maya sehingga membawa kepada budaya yang tidak sihat dalam masyarakat bersosial kita.

Filem seram ini dipilih untuk ditayangkan kerana ia mempunyai elemen kekeluargaan dan karakter seorang kanak-kanak yang istimewa dan terpaksa bergantung kepada teknologi telefon pintar untuk berbicara. Filem ini juga mengisahkan tentang kasih sayang ibubapa dan usaha mereka untuk melindungi anak istimewa mereka, sekaligus membantunya untuk bergaul bersama rakan-rakan sebayanya.

Diakhir filem ini, terdapat juga sesi soal jawab untuk menarik minat para peserta dan memeriahkan suasana. Peserta diberi peluang untuk mengemukakan jawapan berdasarkan apa yang mereka faham tentang filem yang ditayangkan tadi.

Objektif bagi tayangan filem ini diadakan adalah untuk berkongsikan pengetahuan tentang kepentingan hubungan komunikasi dalam sesebuah kekeluargaan dan pergaulan sihat dengan rakan sebaya. Selain itu, dengan pengalaman ini, kanak-kanak tempatan diberi peluang untuk merasakan suasa di dalam panggung wayang bersama adik-beradik dan rakan-rakan sebaya. Ini juga sekali gus memupuk kreativiti kanak-kanak dan pengetahuan mengenai penceritaan sesuatu cerita yang bukan sekadar untuk hiburan tetapi juga mesej dan moral yang terdapat dalam filem tersebut. Tambahan lagi, aktiviti ini juga dapat membantu kanak-kanak tersebut untuk meluangkan waktu cuti sekolah dengan lebih berfaedah sebab dapat mengurangkan masa mereka bersama media social dan permainan game online.

Di akhir aktiviti ini, kami berharap agar setiap pembelajaran dan maklumat yang dikongsikan dapat memberi manfaat kepada peserta di masa depan.Sekian, terima kasih.

Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan:

Kembali Ke Atas

kembali